Relive RLIR 2020Updated 466 days ago

Jelik ketepikan Quantum Racing

Hari pertama kejohanan Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) menyaksikan kejutan, apabila pasukan Jelik dari Hong Kong muncul pendahulu selepas mengutip dua mata daripada dua perlumbaan saingan kelas Racing.

Jelik memenangi perlumbaan pertama selepas mencatat 2 jam 5.11 minit pada perlumbaan pertama, sebelum mencatat 2:18.56s pada perlumbaan kedua.

Kemampuan mengekalkan rentak konsisten dan kelajuan angin selaju 14 hingga 16 knot disifatkan kapten Jelik, Frank Pong sebagai faktor yang mendorong kejayaan pasukannya itu mengetepikan saingan juara bertahan, Quantum Racing yang hanya mendapat tempat kedua.

“Saya sentiasa mengingatkan krew saya untuk konsisten dalam perlumbaan ini. Saya harap permulaan yang baik pada hari pertama akan terus memberi keyakinan kepada kami untuk terus mengekalkan rentak konsisten esok (hari ini).

“Jika kami tersilap mengikut laluan, ia mampu menjejaskan kami dan kerana itu kami harus mengekalkan tahap konsisten yang sama sepanjang perlumbaan untuk mampu mengekalkan kedudukan kami,” kata Frank.

Dua wakil negara dalam kelas Racing, Zuhal dan Navy Janda Baik hanya mampu memulakan hari pertama di tempat keenam dan kelapan, dengan masing-masing mengutip 12 dan 16 mata.

Bagi kapten Zuhal, Lt Komander Malik Sulaiman, pasukannya tidak mempamerkan aksi baik dalam perlumbaan pertama dan hanya mula mempamerkan peningkatan pada perlumbaan kedua.

Pasukan yang dibarisi keseluruhan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mencatat 2:12.26s pada perlumbaan pertama dan 2:24.51s pada perlumbaan kedua.

Walaupun dimasukkan dalam kelas Racing pada saat akhir, Malik tidak melihatnya sebagai faktor penghalang buat pasukannya memberi cabaran kepada pasukan lain.

Memang sepatutnya kami beraksi dalam kelas IRC Premier Crusing, tetapi kerana saiz dan spesikasi bot kami melebihi had kelayakan untuk kelas itu, kami diserap dalam kelas Racing.

Kami akur dengan keputusan penganjur, tetapi saya yakin kami boleh mencapai tiga tempat terbaik keseluruhan kerana mempunyai krew yang berpengalaman, walaupun ini adalah kali pertama kami beraksi di RLIR.

“Keadaan angin selaju 10 hingga 25 knot hari ini (semalam) juga banyak membantu kami, kerana saiz bot kami yang besar. Tetapi kekurangan kami mungkin hanya daripada segi teknologi, sesetengah pasukan seperti Hi Fi sudah melakukan banyak perubahan pada bot mereka,” kata Malik.

RLIR news / subscribe to receive daily updates